fb fb fb fb fb

Selangor, KL, Johor, Sarawak dan P. Pinang penyumbang utama ekonomi 2023 - DOSM

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin

KUALA LUMPUR, 2 Julai- Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Sarawak dan Pulau Pinang kekal penyumbang utama kepada ekonomi negara tahun lepas.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata kelima-lima negeri itu menyumbang 67.7 peratus kepada ekonomi pada tempoh tersebut.

"Empat negeri melepasi pertumbuhan di peringkat nasional 3.6 peratus iaitu negeri Selangor yang berkembang 5.4 peratus, Pahang 5.2 peratus, Johor 4.1 peratus dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan pertumbuhan ekonomi 3.7 peratus," kata Dr. Mohd Uzir kepada pemberita.

Beliau berkata demikian pada sesi Pembentangan serta Soal Jawab Berkenaan Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) KDNK Mengikut Negeri, 2023, secara dalam talian.

Prestasi ekonomi Selangor, Pahang dan Johor dipacu oleh sektor perkhidmatan dan sektor pembuatan.

Tahun lalu, ekonomi negara berkembang sederhana sebanyak 3.6 peratus, namun semua negeri mencatatkan pertumbuhan positif yang menggalakkan.

Nilai KDNK per kapita nasional pada tahun 2023 pula berjumlah RM54,612.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM