KUALA LUMPUR, 10 Oktober- Entiti sektor awam akan kekal sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan dan terangkum berpandukan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026 - 2030.
Kedudukan sektor awam disatukan (CPS) merangkumi gabungan aktiviti fiskal Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, Badan Berkanun Persekutuan dan syarikat awam bukan kewangan (SABK).
Kementerian Kewangan (MOF) dalam laporan Tinjauan Fiskal 2026 yang dikeluarkan hari ini memaklumkan walaupun hasil dijangka lebih tinggi pada 2025, namun lebihan semasa CPS diunjur lebih rendah sebanyak RM29.1 bilion disebabkan lebihan yang lebih kecil seperti dilaporkan oleh SABK.
“Perbelanjaan pembangunan (DE) disatukan dijangka berkurang sebanyak 2.7 peratus kepada RM180.2 bilion, mencerminkan perbelanjaan modal yang lebih rendah seiring dengan tahun terakhir Rancangan Malaysia Ke-12, 2021-2025 (RMK12).
“Kedudukan CPS dijangka mencatat defisit keseluruhan yang lebih besar sebanyak RM151.1 bilion pada 2025 atau 7.5 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) selepas pengasingan transaksi antara unit sektor awam,” kata MOF.
Menurut kementerian hasil kerajaan am disatukan dianggar meningkat kepada RM402.5 bilion pada 2025 berikutan kutipan cukai yang lebih baik oleh Kerajaan Persekutuan terutamanya susulan semakan semula cukai jualan dan cukai perkhidmatan.
“Perbelanjaan mengurus (OE) disatukan dianggar meningkat sebanyak 3.4 peratus kepada RM385.2 bilion berikutan peruntukan emolumen yang lebih tinggi. Oleh itu, lebihan semasa kerajaan am dianggarkan mengecil kepada RM17.2 bilion,” katanya.
Bagaimanapun, MOF berkata DE disatukan diunjur berkurang 4.0 peratus kepada RM85.5 bilion terutamanya disebabkan oleh program dan projek utama RMK12 yang hampir siap.
“Defisit kerajaan am disatukan dijangka mencecah RM68.2 bilion atau 3.4 peratus daripada KDNK pada 2025 selepas semua pindahan dan pinjaman bersih diasingkan,” katanya.
MOF berkata kedudukan kewangan kerajaan negeri disatukan diunjur kekal berdaya tahan pada 2025 walaupun jumlah hasil dianggar lebih rendah iaitu RM38.4 bilion.
“Penurunan ini terutamanya disebabkan oleh hasil janaan negeri yang berkurang 7.1 peratus dan dijangka mencatat RM29.5 bilion pada 2025,” katanya.
Menurut MOF kedudukan kewangan disatukan SABK dijangka terus menyederhana pada 2025 disebabkan oleh persekitaran operasi yang kurang memberangsangkan berikutan ketidaktentuan semasa dengan hasil keseluruhan berkurang kepada RM446.5 bilion atau 22.2 peratus daripada KDNK.
“Penyusutan hasil yang lebih ketara berbanding penurunan dalam perbelanjaan dianggar mencatat lebihan semasa yang lebih rendah sekitar RM14.6 bilion,” katanya.- BERNAMA