KUALA LUMPUR, 10 Ogos - Sasaran dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) disifatkan realistik dan mampu menjadi asas kukuh kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Pakar Geostrategis, Profesor Madya Dr Azmi Hassan berkata, usaha kerajaan membuka pasaran baharu bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran Amerika Syarikat.
Menurutnya, tumpuan kini diberikan kepada pasaran Amerika Latin, Kesatuan Eropah dan negara-negara Afrika, sekali gus berpotensi meningkatkan pendapatan negara sepanjang tempoh lima tahun pelaksanaan RMK13.
“Pendapatan tambahan negara bukan sahaja digunakan untuk pembangunan fizikal, tetapi turut disalurkan bagi menangani kos sara hidup rakyat, selaras dengan konsep Ekonomi MADANI,” katanya kepada RTM.
Antara tumpuan utama RMK13 adalah menaikkan siling pendapatan negara dan lantai pendapatan rakyat, termasuk pelarasan gaji minimum bagi memastikan pengagihan hasil negara lebih seimbang.