fb fb fb fb fb

S&P kekal penarafan kredit berdaulat Malaysia pada ‘A-’, dengan tinjauan stabil

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 20 September- S&P Global Ratings mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada ‘A-’ dengan tinjauan Stabil.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan, pengiktirafan itu mencerminkan keyakinan terhadap pengurusan makroekonomi negara yang kukuh sekali gus menghasilkan prospek pertumbuhan ekonomi yang lebih baik berbanding negara yang mempunyai pendapatan setara.

Tambah kenyataan itu, asas penarafan tersebut disokong oleh ekonomi yang pelbagai, kestabilan politik, kedudukan luaran seimbang serta defisit fiskal mengecil di bawah tadbir urus Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, menegaskan bahawa kepimpinan Datuk Seri Anwar menggalakkan penggubalan dasar dan agenda pembaharuan ekonomi selain konsolidasi fiskal dapat diteruskan.

"Tinjauan stabil mencerminkan momentum prestasi pertumbuhan Malaysia dan persekitaran dasar semasa yang mampu meningkatkan prestasi fiskal secara sederhana dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang," kata kenyataan itu.

Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan 4.4% pada separuh pertama 2025, disokong oleh perbelanjaan isi rumah berdaya tahan, pasaran buruh stabil, inflasi terkawal, pelancongan rancak serta pelaburan tinggi dalam pembuatan dan pembangunan infrastruktur.

S&P menjangkakan KDNK berkembang antara 4.0%-4.8% pada 2025 manakala lebihan akaun semasa dijangka kekal sekitar 2.1% daripada KDNK.

"Kerajaan MADANI memberi tumpuan kepada menambah baik kualiti kehidupan rakyat (Menaikkan Lantai) serta reformasi ekonomi (Menaikkan Siling), selain memastikan pengurusan fiskal yang bertanggungjawab.

Walaupun keadaan luaran kekal tidak menentu, kami beriltizam untuk meneruskan pembaharuan yang akan memartabatkan Malaysia ke tingkat lebih tinggi," kata Datuk Seri Anwar dalam kenyataan itu.

Justeru, kerajaan akan meneruskan agenda pembaharuan di bawah Ekonomi MADANI dan konsolidasi fiskal melalui Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023, dengan Belanjawan 2026 sebagai belanjawan pertama pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) 2026–2030.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM