KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Langkah kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing daripada 15 peratus kepada 10 peratus sebagaimana diumum dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) baru-baru ini disifatkan sebagai wajar dan bersifat jangka panjang.
Pensyarah Kanan Ekonomi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Bashir Ahmad Shabir Ahmad berpandangan, pengenalan levi yang diperluaskan mampu memberi impak positif terhadap pasaran buruh negara, khususnya dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan tempatan.
“Langkah ini selari dengan keperluan semasa untuk memberi ruang lebih luas kepada graduan diploma, ijazah dan juga TVET untuk menceburi sektor separuh mahir yang sebelum ini banyak disertai tenaga kerja asing,” katanya.
Menurut beliau, dalam usaha menuju ke arah negara maju menjelang 2030, adalah penting untuk meningkatkan tahap produktiviti negara dengan mengoptimumkan potensi tenaga kerja tempatan.
“Peningkatan kemahiran dan penyertaan tenaga kerja tempatan dalam sektor pengeluaran dan perkhidmatan akan memastikan jaminan sosioekonomi rakyat, di samping memperkukuh kualiti hidup dalam jangka masa panjang.”
Tambahnya lagi, dasar pengurangan pekerja asing ini juga boleh mendorong kepada inovasi dan automasi, seterusnya mengubah struktur pasaran buruh ke arah yang lebih lestari dan berpendapatan tinggi.
Langkah tersebut menurutnya, bukan sahaja membawa manfaat dari sudut ekonomi, malah selari dengan aspirasi negara untuk membina ekosistem pekerjaan yang mampan dan inklusif.