fb fb fb fb fb

RMK13 dijangka mantapkan Kerangka Ekonomi MADANI

Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof Dr Ahmed Razman Abd Latif.

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Lima inisiatif penghargaan rakyat yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini disifatkan sebagai langkah tepat dalam merangsang ekonomi domestik dan meningkatkan kuasa beli, khususnya dalam kalangan golongan B40 dan M40.

Menurut Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof Dr Ahmed Razman Abd Latif, inisiatif seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan rasionalisasi subsidi RON95 memberi kesan langsung kepada perbelanjaan isi rumah dan membantu merancakkan aliran tunai dalam pasaran tempatan.

Tambahnya, peruntukan tambahan STR sekali beri bernilai RM100, inisiatif yang berimpak besar dan mewujudkan platform bersasar yang boleh diaktifkan sekiranya berlaku situasi mendesak pada masa akan datang.

“Lebih RM2 bilion dijangka memasuki pasaran dan penerima ini biasanya akan berbelanja.

''Suntikan fiskal ini akan merancakkan pertukaran barangan dan perkhidmatan serterusnya akan membantu Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk mendapat pendapatan tambahan dan ini yang kita harapkan,'' jelasnya dalam program BIZ Malaysia di Angkasapuri Kota Media, di sini hari ini.

Beliau berpandangan, langkah tersebut selari dengan aspirasi Kerangka Ekonomi MADANI bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat.

Mengulas mengenai pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Khamis ini, beliau menyarankan agar dasar MADANI diperkukuh sebagai strategi jangka panjang dalam menoktahkan kemiskinan tegar dan mengurangkan ketidaksamaan pendapatan.

“Memang fokus utama Kerangka Ekonomi MADANI ialah mengurangkan kesenjangan pendapatan dan menoktahkan kemiskinan.

''Sejak dua tahun ini, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai dasar yang menepati matlamat itu, sama ada melalui rasionalisasi subsidi, harga kawalan, mahupun bantuan langsung seperti STR dan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA)," jelasnya lagi.

RMK13 dijangka memperincikan pelan hala tuju lima tahun negara bermula 2026 hingga 2030, dengan tumpuan terhadap kemampanan fiskal, pendigitalan ekonomi dan reformasi struktur selaras Visi Kemakmuran Bersama dan Agenda MADANI.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI