fb fb fb fb fb

Rizab antarabangsa Malaysia meningkat kepada AS$118.70 bilion

Rizab antarabangsa Malaysia meningkat kepada AS$118.70 bilion setakat 30 April 2025 berbanding AS$118.40 bilion yang dicatatkan pada 15 April 2025./ Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 8 Mei- Rizab antarabangsa Malaysia meningkat kepada AS$118.70 bilion setakat 30 April 2025 berbanding AS$118.40 bilion yang dicatatkan pada 15 April 2025.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan , Bank Negara, BNM memaklumkan bahawa paras rizab berkenaan mencukupi untuk membiayai 5.0 bulan import barangan dan perkhidmatan serta 0.9 kali jumlah hutang luar jangka pendek negara.

Komponen utama rizab antarabangsa itu terdiri daripada rizab mata wang asing sebanyak AS$105.5 bilion, kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebanyak AS$1.3 bilion, hak pengeluaran khas (SDR) sebanyak AS$5.8 bilion, emas bernilai AS\$3.8 bilion dan aset rizab lain berjumlah AS$2.3 bilion.

Jumlah keseluruhan aset BNM direkodkan pada RM639.84 bilion, yang merangkumi emas dan pertukaran asing serta rizab lain termasuk SDR bernilai RM526.27 bilion, pegangan Kertas Kerajaan Malaysia sebanyak RM12.81 bilion, deposit dengan institusi kewangan (RM7.59 juta), pinjaman dan pendahuluan (RM26.89 bilion), tanah dan bangunan (RM4.58 bilion), serta aset-aset lain bernilai RM61.67 bilion.

Modal dan liabiliti BNM turut berjumlah RM639.84 bilion, yang terdiri daripada modal berbayar sebanyak RM100 juta, rizab (RM190.94 bilion), mata wang dalam edaran (RM174.15 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM149.65 bilion), deposit Kerajaan Persekutuan (RM4.78 bilion), deposit lain-lain (RM77.86 bilion), Kertas Bank Negara (RM10.57 bilion), peruntukan SDR (RM28.38 bilion), dan liabiliti lain sebanyak RM3.36 bilion.

MOHAN CHINNASAMY