fb fb fb fb fb

RISDA galak lebih ramai penoreh getah hasilkan susu getah

PADANG TERAP, 17 November -Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Kedah menggalakkan lebih ramai penoreh dan pekebun kecil getah di negeri ini menghasilkan susu getah atau lateks.

Pegawai RISDA Daerah Padang Terap, Mohd Zulkhairi Mohd Radzi berkata, harga susu getah boleh mencecah lebih RM5.00 sekilogram berbanding getah beku atau sekerap yang hanya RM2.80 berdasarkan harga semasa.

Ini sekali gus mampu melonjakkan pendapatan penoreh dan pekebun kecil sehingga 30 peratus.

"RISDA menyediakan pelbagai bantuan untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

"Antaranya Skim Insentif Lateks dan Insentif Harga Lateks bagi membantu pekebun kecil meningkatkan penghasilan susu getah.

"Melalui skim tersebut, RISDA akan memberi bantuan dari segi penyelenggaraan kebun, bantuan baja, racun dan penggalak susu serta tambahan hasil penjualan susu getah di Pusat Pengumpulan Lateks (DEPO)," katanya kepada RTM selepas meninjau proses penghasilan susu getah di Depo Kampung Kuala Pai, Kuala Nerang.

Terdahulu, beliau mengadakan perjumpaan bersama penoreh getah di Kampung Lebai Saman, Naka.

Tambah beliau, setiap pekebun kecil layak menerima insentif Pengeluaran Getah Berkelompok (IPGB) sebanyak RM300 sebulan bagi tempoh 12 bulan.

"Itu lah bantuan-bantuan yang disediakan oleh pihak RISDA yang terkini dan kita harapkan menerusi bantuan-bantuan yang disediakan oleh pihak RISDA ini dapat meningkatkan pendapatan pekebun kecil," katanya.

Sementara itu, seorang penoreh getah, Ali Abdullah yang memiliki 300 pokok getah dari Kampung Kubang Bok berkata, hasil pendapatannya meningkat selepas beralih daripada menghasilkan getah sekerap kepada lateks.

"Secara puratanya seminggu insya-Allah, (bagi) kamilah kalau harga semasa, dengan insentif sekali kami dapat tak termasuk (insentif) LGM (Lembaga Getah Malaysia) sebab (insentif) LGM akan masuk akaun.

"Kalau dengan RISDA kami dapat dalam RM600 lebih seminggu," katanya.

Di Padang Terap, seramai 15 penoreh dan pekebun kecil getah telah beralih kepada penghasilan susu getah walaupun baharu sahaja diperkenalkan tahun lalu.

RISDA Padang Terap menyasarkan antara 30 hingga 50 penoreh getah beralih kepada lateks dalam tempoh setahun akan datang.

GRACE AISYAH KEDAYAN