KUALA LUMPUR, 16 Mei - Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini susulan sentimen berhati-hati terhadap mata wang tempatan itu meskipun dolar AS mencatatkan penurunan ekoran data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lebih lemah.
Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.2900/2980 berbanding dolar AS daripada paras 4.2795/2870 pada Khamis.
Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata data ekonomi terbaharu AS yang lemah telah memberi harapan kadar faedah mungkin akan diturunkan, yang seterusnya memberi kesan terhadap dolar AS.
"Angka Indeks Harga Pengguna (IHP) dan Indeks Harga Pengeluar (IHPP) AS yang lebih rendah telah mencetuskan harapan Rizab Persekutuan AS (Fed) mungkin akan menurunkan kadar faedahnya lebih awal daripada jangkaan. Walaupun Fed masih belum mengesahkan sebarang perubahan, pasaran sudah pun mula mengambil kira jangkaan itu," katanya kepada Bernama.
Beliau berpandangan dolar AS yang rendah juga dilihat sebagai sejajar dengan strategi perdagangan Washington, terutamanya dengan Asia, kerana dolar AS yang lebih lemah boleh menjadikan eksport AS lebih berdaya saing dan memberikannya kelebihan dalam rundingan dua hala yang sedang berjalan.
"Dengan penurunan hasil sebenar AS dan pelabur mencari pulangan yang lebih baik di pasaran sedang pesat membangun, mata wang seperti ringgit sepatutnya mendapat manfaat daripada perkembangan ini.
"Trend terkini yang masih menunjukkan dolar AS yang lebih lemah boleh menyokong mata wang serantau, termasuk ringgit, dalam tempoh terdekat," katanya.
Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama lain.
Unit tempatan susut berbanding yen Jepun kepada 2.9470/9527 daripada 2.9326/9379 pada Khamis, turun berbanding euro kepada 4.8022/8112 daripada 4.7939/8023 dan merosot berbanding pound Britain kepada 5.7018/7125 daripada 5.6862/6961.
Ringgit juga diniagakan lebih rendah berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.
Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3041/3105 daripada 3.2950/3010 pada Khamis, turun berbanding baht Thailand kepada 12.9003/9318 daripada 12.8198/8488, berkurangan berbanding rupiah Indonesia kepada 260.8/261.5 daripada 258.8/259.4 dan jatuh berbanding peso Filipina kepada 7.71/7.73 daripada 7.67/7.69.- BERNAMA