fb fb fb fb fb

Ringgit mengukuh susulan penurunan kadar AS, prospek positif ekonomi Malaysia

Foto hiasan/RTM

KUALA LUMPUR, 25 Sept -Ringgit meningkat dengan kukuh berbanding dolar AS, terutamanya sejak awal Julai, susulan pergerakan kadar faedah yang lebih jelas di negara maju, terutamanya Amerika Syarikat (AS), kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Timbalan Gabenor BNM Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata perbezaan kadar faedah yang lebih mengecil dengan AS akan menyokong aliran masuk portfolio, terutamanya memandangkan prospek ekonomi Malaysia yang positif.

“Landskap domestik juga agak positif. Pembaharuan struktur kerajaan yang berterusan, rasionalisasi subsidi dan peningkatan perlindungan sosial menawarkan peluang untuk meneruskan perubahan yang bermakna.

“Selain itu, tindakan terselaras antara kerajaan dan BNM, yang telahpun membantu keseimbangan aliran (dana) yang lebih baik, akan diteruskan dan ini akan memberikan sokongan kukuh terhadap ringgit.

“Apa yang penting, pembaharuan struktur secara berterusan oleh kerajaan, ditambah dengan prospek ekonomi yang bertambah baik, akan terus mengekalkan minat global untuk melabur di Malaysia,” katanya pada Forum Asia IFN 2024, di sini, hari ini.

Ahmad Zaylani berkata Malaysia memberi fokus utama terhadap kemampanan dan menetapkan matlamat dan rancangan untuk mengoptimumkan struktur sukuk yang pelbagai bagi membiayai peralihan lancar kepada ekonomi mampan, terutamanya untuk pasaran sedang pesat membangun.

Menurutnya, di Asia, dianggarkan US$1.7 trilion diperlukan setiap tahun bagi pembangunan infrastruktur dengan jurang ketara US$800 bilion dalam pembiayaan iklim terutamanya dalam tenaga boleh baharu.  

Dalam tempoh lima tahun akan datang, lebih US$138 bilion diperlukan untuk memenuhi sasaran sifar bersih menjelang 2050, dua kali ganda berbanding pelaburan pada masa ini.

“Hasil kerajaan sahaja tidak dapat memenuhi keperluan ini.

“Sukuk berpotensi untuk memangkin sumber pembiayaan yang lebih luas dalam bidang ini bagi sektor kerajaan mahupun swasta,” katanya.

 Di Malaysia, sukuk merupakan instrumen pembiayaan penting dalam menyokong keperluan pembiayaan ekonomi dengan sejumlah US$56 bilion sukuk diterbitkan pada 2023, dengan penumpuan utama kepada tenaga boleh baharu dan hartanah hijau.

“Saya percaya wujud peluang besar untuk terus memanfaatkan lagi kekuatan Asia dalam terbitan bon mampan menerusi sinergi dengan kepakaran Malaysia dalam kewangan Islam. Rantau ini juga menyumbang 23 peratus daripada pasaran sukuk ESG global yang menjadi asas potensi untuk memajukan kewangan mampan Islam.

“Malaysia, khususnya, juga berada di barisan hadapan gerakan ini dengan terus menerajui usaha inovasi dalam pasaran. Sejak menjadi perintis sukuk hijau pertama dunia pada 2017, sebanyak 41 sukuk korporat telah diterbitkan di bawah Rangka Kerja Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab yang berjaya mengumpul lebih US$6.67 bilion,” katanya.

Adnan Zaylani juga menekankan kepentingan memperluas takaful dalam menangani jurang perlindungan dengan sektor takaful di Malaysia telah menunjukkan pertumbuhan yang kukuh.

Bagi tempoh sepanjang dekad lepas, bahagian pasaran itu mencatat peningkatan dua kali ganda kepada 23.4 peratus manakala caruman takaful keluarga mencecah 19.8 peratus pada 2023 - menunjukkan peranannya yang semakin ketara dalam industri insurans.

Sejak pelancaran rangka kerja Pengantaraan Berasaskan Nilai Untuk Takaful (VBIT) pada 2022, industri itu telah memberi tumpuan terhadap pertumbuhan yang dipacu oleh nilai, penekanan empati dan keterangkuman dalam perlindungan kewangan.

Pengendali takaful kini menawarkan perlindungan kepada kumpulan yang dikecualikan sebelum ini, seperti individu dengan kurang upaya pembelajaran atau keperluan penjagaan khas.

Kemajuan itu disokong oleh Kad Skor Maqasid Syariah Persatuan Takaful Malaysia yang melaras petunjuk prestasi utama dengan nilai-nilai etika kewangan Islam.

“Kami menjangkakan kad skor ini dapat dilaksanakan sepenuhnya menjelang separuh kedua pada 2025,” katanya.

Keutamaan seterusnya adalah pengukuhan kerjasama antarabangsa bagi mewujudkan peluang pelaburan hijau.

Adnan Zaylani berkata asas-asas ekonomi Malaysia yang kukuh dan kematangan ekosistem kewangan Islam turut meletakkan negara ini sebagai hab semula jadi bagi tujuan pelaburan patuh Syariah.

“Bagi memastikan industri kekal tangkas serta bersedia merebut peluang pelaburan hijau yang sentiasa berubah, Malaysia perlu mengukuhkan hubungan bersama rakan strategik antarabangsa dengan pengawasan industri yang aktif serta memupuk ekosistem pembiayaan hijau patuh Syariah," katanya.

Menyentuh harapan terhadap Malaysia selaku pengerusi ASEAN tahun depan, beliau berkata BNM komited untuk mewujudkan kerjasama lebih erat di serata rantau ini.

Bank pusat itu menerusi kerjasama dengan rakan pengawal selia seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, berusaha secara aktif untuk mewujudkan potensi sektor pertumbuhan baharu dengan menyepadukan kewangan Islam dengan inisiatif-inisiatif kewangan mampan.

“Di peringkat serantau, kami percaya penyelesaian kewangan inovatif, termasuk instrumen kewangan Islam menjadi kunci untuk menyokong agenda kemampanan negara-negara ASEAN,” katanya. -Bernama

MAT YUNUS BIN SABRI