fb fb fb fb fb

Ringgit diunjur cecah 4.13-4.16, cenderung mengukuh minggu depan

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 22 November - Ringgit dijangka diniagakan dalam julat 4.13-4.16 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan cenderung meningkat pada minggu depan selepas mengalami turun naik minggu ini ketika pasaran menurunkan sentimen kemungkinan negara maju itu mengurangkan kadar faedahnya dalam mesyuarat Disember ini.

Dari segi prestasi, ringgit susut nilai pada Isnin, Selasa dan Khamis minggu ini, meningkat pada Rabu dan mengakhiri urus niaga minggu ini dengan lebih mengukuh walaupun laporan penggajian bukan perladangan AS bagi September meningkat dan mengatasi jangkaan awal.

Laporan terkini itu menunjukkan sebanyak 119,000 pekerjaan telah diwujudkan pada September lepas yang mengatasi unjuran ramai sebelum ini.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata tempoh penutupan operasi kerajaan AS selama 41 hari sejak 1 Oktober lepas telah membawa kepada kejelasan petunjuk data.

“Pada masa ini, pasaran yakin pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) tidak akan melaksanakan sebarang pengurangan kadar faedah berdasarkan kadar faedah bagi kontrak hadapan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd pula menjangkakan berlakunya pembetulan teknikal dengan ringgit diunjur mengalami konsolidasi pada paras hampir 4.15 berbanding dolar AS minggu depan ketika Fed kekal berhati-hati menjelang mesyuarat pada bulan depan.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, bank pelaburan itu berkata ringgit susut nilai daripada 4.13 berbanding dolar AS pada Jumaat lepas kepada 4.15 pada Isnin dan mencecah seketika paras 4.16 pada Selasa selepas pasaran mengetepikan pandangan pembukaan semula operasi kerajaan AS akan menghasilkan data lebih lemah serta pendirian Fed untuk cenderung mengurangkan kadar faedah.

Bank pelaburan itu juga mengekalkan unjurannya dan menjangkakan penurunan kadar faedah AS sebanyak tiga kali lagi pada 2026.

“Bagi Malaysia, aliran masuk dana asing yang stabil untuk bon tempatan, pemulangan berterusan hasil eksport serta latar belakang makro yang stabil secara keseluruhannya dijangka mengekalkan pengukuhan ringgit menjelang akhir tahun,” katanya.

Bagi perbandingan mingguan, ringgit susut berbanding dolar AS apabila mengakhiri urus niaga pada 4.1460/1495 berbanding 4.1290/1345 pada minggu sebelumnya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama.

Ini termasuk mengukuh berbanding pound Britain pada 5.4143/4188 daripada 5.4313/4385, naik berbanding euro kepada 4.7779/7819 daripada 4.7983/8047 dan meningkat berbanding yen pada 2.6453/6479 daripada 2.6690/6728, pada Jumaat minggu lepas.

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN, termasuk naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1695/1724 daripada 3.1720/1765 namun susut berbanding rupiah Indonesia kepada 248.0/248.3 daripada 247.1/247.5.

Unit tempatan itu rendah berbanding peso Filipina kepada 7.04/7.05 daripada paras 6.99/7.00 dan susut nilai berbanding baht Thailand kepada 12.7601/7759 daripada 12.7356/7580, sebelum ini.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE