KUALA LUMPUR, 22 November - Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatif dijangka didagangkan lebih rendah pada minggu hadapan, dengan para peniaga melihat penyatuan dalam jajaran US$4,015 hingga US$4,075 setiap auns troy.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata keuntungan emas mula melemah selepas pengukuhan baru-baru ini, diseret ke paras US$4,035 setiap auns troy dan turun 0.5 peratus untuk minggu tersebut.
Laporan Pekerjaan Amerika Syarikat yang bercampur-campur hanya memberikan sedikit sokongan kepada emas, Rizab Persekutuan pula dilihat tidak terdesak untuk mengurangkan kadar dan mengekalkan jangkaan tidak berubah pada mesyuarat Disember akan datang.
"Dengan jangkaan pemotongan pada Disember, kemungkinan sekitar 40 peratus, latar belakang ini memberikan impak negatif terhadap logam itu selepas ia melonjak kepada paras tertinggi.
"Minggu hadapan, pasaran mungkin akan tertumpu kepada pemotongan kadar faedah AS Januari, yang dilihat pasti berlaku," katanya kepada Bernama.
Katanya, ia bukan sekadar tindakan agresif Rizab Persetukuan, ia lebih kepada soal masa tetapi emas memerlukan momentum baharu untuk naik lebih tinggi.
"Oleh itu, tanpa isyarat yang berhati-hati dalam data, ia boleh didagangkan pada jajaran US$4,015 hingga US$4,075 setiap auns troy pada minggu hadapan," katanya.
Dari minggu ke minggu, kontrak November 2025 menyusut kepada US$4,058.20 setiap auns troy berbanding US$4,177.30 setiap auns troy sebelum ini, Disember 2025 merosot kepada US$4,076.30 setiap auns troy daripada US$4,194.50 setiap auns troy dan Januari 2026 berkurangan kepada US$4,092.50 setiap auns troy daripada US$4,213.10 setiap auns troy.
Sementara itu, Februari 2026, April 2026 dan Jun 2026 semuanya ditutup lebih rendah pada US$ 4,108.90 setiap auns troy berbanding US$4,228.10 setiap auns troy yang disaksikan dalam akhir minggu lepas.
Jumlah dagangan mingguan menurun kepada 256 lot daripada 274 lot, manakala kepentingan terbuka jatuh kepada 150 kontrak daripada 218 kontrak.
Berdasarkan penetapan tengah hari 20 Nov 2025 London Bullion Market Association, emas fizikal berada pada US$4,090.60 setiap auns troy.- BERNAMA