KUALA LUMPUR, 18 November - Ringgit meneruskan penurunannya ditutup lebih rendah berbanding dolar AS hari ini, apabila para peniaga menjual pegangan untuk menyimpan keuntungan susulan ketidakpastian mengenai prospek kadar faedah Amerika Syarikat.
Pada 6 petang, ringgit menyusut kepada 4.1605/1660 daripada paras penutup 4.1480/1515 pada Isnin.
Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata penurunan itu wajar memandangkan petunjuk teknikal menunjukkan keadaan terlebih beli.
“Oleh itu, penurunan ini bermakna ringgit akan menyesuaikan dengan nilai yang sesuai mengikut keadaan ekonomi semasa.
"Berdasarkan niaga hadapan kadar faedah, kemungkinan penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan semasa mesyuarat Disember telah menurun dengan ketara kepada sekitar 42 peratus daripada lebih 90 peratus pada bulan sebelumnya," katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Unit tempatan meningkat sedikit berbanding yen kepada 2.6800/6838 daripada 2.6805/6829 pada Isnin, tetapi susut berbanding euro kepada 4.8216/8280 daripada 4.8125/8166 dan berkurangan berbanding pound Britiain kepada 5.4719/4791 daripada 5.4608/4654 sebelumnya.
Ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang negara-negara ASEAN.
Unit tempatan susut berbanding baht Thai kepada 12.8252/8481 daripada 12.7847/8018 pada Isnin, merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.1938/1982 daripada 3.1864/1893, turun berbanding rupiah Indonesia kepada 248.3/248.7 daripada 247.8/248.1 dan berkurangan berbanding peso Filipina pada 7.05/7.06 daripada 7.04/7.05 sebelumnya.- BERNAMA