KUALA LUMPUR, 18 November - Malaysia bersedia memperkukuh hubungan dagangan dengan Kemboja menerusi Misi Pemecutan Eksport (EAM) yang dijadualkan berlangsung dari 25 hingga 27 November ini.
Misi yang diterajui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) itu bertujuan mengetengahkan syarikat tempatan sebagai rakan niaga yang boleh dipercayai dalam memenuhi permintaan Kemboja yang semakin meningkat terhadap barangan pengguna dan industri.
MATRADE dalam kenyataan memaklumkan, misi tersebut melibatkan pengeksport Malaysia dalam sektor berpotensi tinggi, termasuk Barangan Pengguna Cepat Laris (FMCG), produk penjagaan peribadi, produk pertanian serta produk berasaskan petroleum.
"Misi tersebut turut merangkumi sesi jaringan perniagaan bersama beberapa dewan perniagaan dan persatuan peniaga di Kemboja.
"Usahawan tempatan juga akan menyertai mesyuarat perniagaan bersama bakal pengimport dan pengedar, serta sesi taklimat pasaran berkaitan peraturan perdagangan dan peluang baharu dalam sektor berpertumbuhan tinggi", tambah kenyataan berkenaan.
Perdagangan Malaysia–Kemboja mencatat pertumbuhan kukuh, mencecah AS$848.8 juta bagi tempoh Januari–September 2025, peningkatan 35.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan tersebut didorong oleh permintaan Kemboja terhadap makanan dan minuman diproses, produk penjagaan peribadi dan bekalan industri dari Malaysia.