fb fb fb fb fb

Ringgit ditutup rendah ketika hasil AS meningkat

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 8 Oktober- Ringgit ditutup rendah sedikit berbanding dolar AS berikutan peningkatan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) yang mendadak, menyebabkan peniaga dan pasaran mengambil pendirian berhati-hati mengenai kemungkinan penurunan kadar AS pada masa hadapan.

Pada 6.00 petang, mata wang tempatan berada pada 4.2850/2895 berbanding dolar AS daripada 4.2810/2880 semasa ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Rizab Persekutuan AS (Fed) mungkin cenderung untuk mengambil pendekatan yang lebih tersusun untuk melonggarkan pendirian dasar monetarinya berikutan pasaran buruh yang kukuh.

"Selain itu, keadaan terlebih beli ringgit dari sudut teknikal menunjukkan bahawa pembetulan teknikal akan berterusan dalam tempoh terdekat," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga) telah menyemak naik unjuran nilai ringgit berbanding dolar AS kepada 4.25 daripada 4.42 sebelum ini, disokong oleh perbezaan hasil, pengurangan kadar faedah oleh Fed dan pemulihan ekonomi China.

“Seperti dijangkakan, pasaran telah melakukan pelarasan dan menerima hanya dua pengurangan 25 mata peratusan tahun ini oleh Fed susulan data tenaga kerja September yang lebih kukuh daripada unjuran awal.

“Walaupun asas-asas domestik akan terus mendorong peningkatan ringgit, kami kekal berhati-hati terhadap risiko luar, khususnya prospek penurunan ekonomi AS yang mendadak, ketidaktentuan susulan pilihan raya presiden dan ketegangan geopolitik,” kata Kenanga dalam nota penyelidikan.

Pada penutupan dagangan, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama.

Ia susut berbanding euro kepada 4.7079/7129 daripada 4.6920/6996 semasa ditutup semalam, menurun berbanding yen Jepun kepada 2.8988/9022 daripada 2.8857/8909 sebelumnya, dan berkurangan berbanding pound Britain kepada 5.6108/6167 daripada 5.5953/6044.

Mata wang tempatan menunjukkan prestasi bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit meningkat sedikit berbanding baht Thailand kepada 12.7933/8129 daripada 12.7948/8218 semalam dan menokok berbanding peso Filipina kepada 7.53/7.54 daripada 7.54/7.55 sebelum ini.

Bagaimanapun, ia menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.2876/2913 daripada 3.2832/2888 semasa ditutup pada Isnin dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 273.6/274.1 daripada 272.8/273.4. -BERNAMA

SITI AISHAH MD ISA