fb fb fb fb fb

Ringgit dijangka diniagakan dalam julat kecil minggu depan

KUALA LUMPUR, 18 November - Urus niaga ringgit diunjur dalam julat kecil sekitar 4.67 hingga 4.68 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan apabila peniaga mencari petunjuk baharu bagi hala tuju pasaran.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata spekulasi pasaran mengenai kemungkinan pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) mengurangkan kadar faedah, juga dijangka mendapat momentum pada bulan ini.

Ini berikutan pengumuman data terkini senarai gaji bukan perladangan (NFP) AS yang lebih rendah daripada jangkaan dan seterusnya kadar inflasi yang susut kepada 3.2 peratus pada Oktober selepas kekal di paras 3.7 peratus sejak dua bulan lepas.

Malah, pada Khamis, tuntutan pengangguran AS meningkat kepada 231,000 minggu lalu daripada 218,000 yang menunjukkan pasaran tenaga kerjanya yang kian lemah.

“Persoalan yang berlegar sekarang adalah tarikh untuk Fed menurunkan kadar faedah serta sebanyak mana angka pengurangan itu.

“Namun, ringgit dijangka kekal dalam julat kecil bagi tempoh terdekat ini susulan ketidaktentuan kadar AS. Minggu depan misalnya, tumpuan lebih kepada minit-minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC) apabila penggiat pasaran mahu mendapatkan lebih banyak pandangan mengenai keputusan terkini pihak Fed," katanya kepada Bernama.

Selain itu, Hong Leong Research dalam nota tinjauannya pula mengunjurkan pergerakan ringgit pada minggu depan akan dipengaruhi oleh aliran kelemahan dolar AS.

Dalam pada itu, ringgit juga susut berbanding kebanyakan mata wang negara-negara Kumpulan G10 dan mata wang serantau utama, kecuali yen Jepun dan dolar Hong Kong.

“Gandingan USD/RM bagi minggu depan diunjur neutral dan menjurus susut sedikit,” katanya.

Bagi perbandingan Jumaat hingga Jumaat, ringgit mengukuh berbanding dolar AS kepada 4.6785/6825 daripada 4.7065/7105 pada minggu sebelumnya.

Selain itu, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain apabila susut berbanding euro kepada 5.0771/0814 daripada 5.0232/0275 seminggu lalu, turun berbanding yen Jepun kepada 3.1267/1296 daripada 3.1072/1101.

Unit tempatan itu turut rendah berbanding pound Britain kepada 5.8056/8105 daripada 5.7480/7529 pada seminggu sebelumnya.

Prestasi ringgit juga kebanyakannya rendah berbanding mata wang Asean apabila susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4769/4801 daripada 3.4599/4631 minggu lepas dan turun berbanding rupiah Indonesia kepada 301.9/302.3 daripada 299.8/300.2.

Berbanding baht Thailand, ringgit diniagakan rendah pada 13.3298/3481 daripada 13.1108/1267 namun mengukuh berbanding peso Filipina kepada 8.40/8.41 daripada 8.41/8.42 pada minggu lepas. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN