KUALA LUMPUR, 4 Februari- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS berikutan Amerika Syarikat (AS) menangguhkan kenaikan tarif import ke atas Kanada dan Mexico selain data ekonomi AS yang lemah, kata penganalisis.
Pada 8.00 pagi, ringgit mengukuh kepada 4.4500/4700 berbanding dolar AS daripada 4.4710/4800 semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata AS bersetuju untuk menangguhkan tarif import sebanyak 25 peratus ke atas barangan dari Kanada dan Mexico selama sebulan berikutan Presiden Donald Trump dapat membawa pemimpin dari kedua-dua negara itu ke meja rundingan.
"Pada pandangan kami, Trump menggunakan tarif sebagai mekanisme untuk berunding bagi mendapatkan pelarasan yang lebih baik.
"Walaupun langkah ini boleh mengganggu sentimen pasaran, ekonomi AS berada dalam keadaan baik dan tidak wajar jika beliau mahu mengubah trend positif ini," katanya kepada Bernama hari ini.
Mohd Afzanizam berkata Indeks Dolar AS (DXY) dilihat turun daripada paras tertinggi 109.878 mata kepada 108.404 mata semalam apabila perang perdagangan dapat dielakkan buat sementara waktu.
Bagaimanapun, katanya data daripada tinjauan terkini menunjukkan sentimen perniagaan dalam sektor pembuatan AS meningkat pada Januari 2025.
"Indeks Institut Pengurusan Bekalan untuk sektor pembuatan meningkat kepada 50.9 mata pada Januari selepas kekal di bawah 50 mata selama 26 bulan berturut-turut.
"Subindeks seperti Pesanan Baharu juga kekal melebihi paras 50 mata selama tiga bulan berturut-turut, menunjukkan sektor pembuatan sibuk memenuhi pesanan pelanggan," katanya.
Beliau berkata pasaran dijangka terus memberi tumpuan kepada perkembangan tarif, dengan China menjadi kebimbangan utama seterusnya berhubung potensi konsesi.
Oleh itu, beliau menjangka ringgit mengukuh hari ini.
Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama.
Mata wang tempatan tinggi berbanding yen Jepun kepada 2.8660/8792 daripada 2.8838/8898 semalam. Bagaimanapun, ia merosot berbanding euro kepada 4.5969/6175 daripada 4.5747/5839 semalam dan berkurangan berbanding pound kepada 5.5340/5589 daripada 5.4966/5077 sebelum ini.
Mata wang tempatan turut diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN.
Ia meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.58/7.62 daripada 7.62/7.64 semalam, susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2725/2877 daripada 3.2709/2777, rendah berbanding baht Thailand kepada 13.1424/2131 daripada 13.1345/1687 dan merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 270.5/271.9 daripada 271.1/272.5 sebelum ini. -BERNAMA