KUALA LUMPUR, 7 Mei - Ringgit memulakan urus niaga Rabu dengan meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), disokong oleh kelemahan indeks dolar itu (DXY) dan penurunan hasil Perbendaharaan negara maju berkenaan -- petanda bahawa sentimen mengelak risiko terus ketara.
Pada 8 pagi, ringgit meningkat kepada 4.2120/2300 berbanding dolar AS daripada paras akhir urus niaga Isnin pada 4.2285/2360.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sentimen pasaran kekal goyah berikutan tahap ketidaktentuan ekonomi terus meningkat.
“Oleh itu, peniaga dan pelabur akan menumpukan perhatian kepada penilaian Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC) mengenai keadaan semasa ekonomi menjelang keputusan mengenai pendirian mereka pada malam ini," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata ringgit menyaksikan aktiviti pengambilan untung susulan pengukuhan ketaranya berbanding dolar AS semalam di tengah-tengah bahang ketidaktentuan.
"Sehubungan itu, adalah dijangkakan ringgit kekal dalam julat kecil kerana peserta pasaran masih lagi menunggu keputusan FOMC malam ini dengan konsensus menjangkakan Kadar Dana Rizab Persekutuan AS tidak berubah iaitu pada 4.50 peratus pada masa ini," katanya.
Dalam pada itu, ringgit juga diniagakan lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.9434/9564 daripada 2.9502/9556 pada Selasa, naik berbanding euro kepada 4.7764/7968 daripada 4.7824/7909 semalam dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6234/6475 daripada 5.6302/6402 sebelum ini.
Selain itu, ringgit turut mencatat prestasi sama berbanding mata wang serantau di ASEAN.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2674/2821 daripada 3.2749/2812 dan menambah berbanding baht Thailand kepada 12.8922/9611 daripada 12.9399/9700, semalam.
Unit tempatan itu juga meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.57/7.61 daripada 7.60/7.62 semalam dan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 256.0/257.2 daripada 257.0/257.6. - Bernama