KUALA LUMPUR, 23 Julai - Ringgit meningkat untuk dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, didorong oleh sentimen pasaran yang berhati-hati menjelang tarikh akhir tarif pada 1 Ogos.
Pada 8.03 pagi, ringgit meningkat kepada 4.2195/2375 berbanding dolar AS daripada 4.2300/2370 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit dijangka diniagakan dalam julat RM4.22 hingga RM4.24 hari ini, memandangkan pelabur masih berhati-hati terhadap prospek tarif.
Sementara itu, Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata ringgit dibuka lebih kukuh hari ini apabila dorongan makro mula menyebelahi ringgit, memberikan kelegaan sementara selepas beberapa minggu ketegangan tarif dan ketidaktentuan global.
Beliau berkata dolar AS sedang mengalami penurunan, diseret turun oleh kemerosotan hasil Perbendaharaan serta kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kesan domestik berikutan pendirian keras Donald Trump berkenaan perdagangan..
Kekukuhan ringgit pagi ini bukan sekadar lantunan sementara malah juga satu tindak balas terhadap perubahan naratif makro, katanya.
“Penyusutan dolar, diplomasi perdagangan yang bersambung semula, harapan terhadap pengurangan tarif serta Rizab Persekutuan AS yang sedang menerima tekanan, gabungan semua ini membuka ruang sementara untuk mata wang pasaran yang sedang pesat membangun meraih manfaat. Bagi ringgit, ruang itu merupakan faktor positif yang membawa kelegaaan,” katanya kepada Bernama.
Innes berkata yang penting bagi ringgit, masih ada harapan Malaysia boleh mencapai perjanjian tersendiri dengan Washington untuk mengelakkan kenaikan tarif yang bakal dikenakan sepenuhnya.
Beliau berkata perunding Malaysia dikatakan sedang berusaha mendapatkan kadar tarif yang lebih rendah, menyasarkan julat antara 15 hingga 20 peratus berbanding kadar sebanyak 25 peratus, keseluruhannya sejajar dengan yang telah ditawarkan kepada rakan serantau seperti Vietnam dan Indonesia.
“Rundingan yang masih diteruskan itu memadai untuk menyokong ringgit, kerana pasaran melihatnya sebagai tanda bahawa Malaysia mungkin dapat mengelakkan kesan ekonomi yang paling berat,” katanya.
Pada pembukaan, ringgit kebanyakannya rendah berbanding beberapa mata wang utama.
Unit domestik susut berbanding yen Jepun kepada 2.8767/8891 daripada 2.8690/8739 ketika ditutup pada Selasa, dan rendah berbanding euro kepada 4.9528/9740 daripada 4.9512/9594.
Bagaimanapun, ringgit sedikit tinggi berbanding pound British kepada 5.7052/7295 daripada 5.7088/7183.
Ringgit diniagakan lebih kukuh kebanyakannya berbanding mata wang serantau.
Mata wang tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3001/3144 daripada 3.3011/3071 ketika ditutup semalam, dan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 258.5/259.7 daripada 259.1/259.7.
Ringgit naik sedikit berbanding peso Filipina kepada 7.39/7.43 daripada 7.41/7.43 namun turun berbanding baht Thailand kepada 13.1138/1767 daripada 13.0899/1172. - BERNAMA