fb fb fb fb fb

Rangka kerja ESG-i bimbing usahawan PKS patuh Syariah

Gambar fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Mei - Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA) melancarkan rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus Islam  (ESG-i) yang pertama di negara ini.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, rangka kerja ESG-I ini adalah untuk membimbing perniagaan tempatan, terutamanya pemula perniagaan dan Perusahaan Mikro, Kecil, Sederhana (PKS) supaya mematuhi objektif Maqasid Syariah dan piawaian etika pelaburan.

"Yang menariknya ESG-I framework yang dilancarkan ini ia menggunakan kerangka maqasid Syariah iaitu untuk perlindungan ataupun pemeliharaan dari aspek akal, diri, harta, agama dan sebagainya.

"Jadi saya rasa ini merupakan satu pendekatan yang terbaik dan boleh menarik ramai pelabur," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Pelancaran Kertas Kajian ISRA : Rangka Kerja Penilaian ESG-Islam untuk PKS (Perusahaan Mikro, Kecil, Sederhana) di Forum Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia di sini, hari ini.

Menurutnya melalui rangka kerja ini, perniagaan yang dijalankan perlu mematuhi parameter utama iaitu manusia, planet, keuntungan dan juga prinsip.

Universiti INCEIF, melalui Pusat Pengurusan Penyelidikan ISRA, akan bekerjasama dengan Ficus Capital untuk mendapatkan maklum balas dan idea daripada pelbagai pihak berkepentingan, dalam membangunkan Rangka Kerja ESG-i tersebut.

GRACE AISYAH KEDAYAN