GEORGE TOWN, 20 Mei - Pulau Pinang terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi utama acara perniagaan di rantau ini apabila berjaya menjana pendapatan sebanyak RM1.29 bilion sepanjang tahun lalu.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Wong Hon Wai berkata, pulangan tersebut hasil penganjuran 2,059 acara perniagaan, yang menarik kehadiran lebih 300,000 delegasi dari dalam dan luar negara.
Angka tersebut menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun 2023, yang hanya mencatat RM1.03 bilion hasil daripada 604 acara.
Katanya, pencapaian tersebut menunjukkan keberkesanan inisiatif strategik kerajaan negeri dalam memperkukuh kedudukan negeri sebagai destinasi utama bagi acara perniagaan bertaraf antarabangsa.
"Penang Convention & Exhibition Bureau (PCEB) juga menitikberatkan pembangunan industri dengan menganjurkan BE @ Penang (Business Events) dengan objektif meluaskan pengetahuan dan pendidikan dalam acara perniagaan kepada rakan industri seperti Professional Conference Organiser (PCO), pengusaha hotel, agen pelancongan, syarikat pengurusan destinasi (Destination Management Company), pembekal, Syarikat Pengurusan Acara (Event Management Company) dan agensi yang terlibat dengan lokasi tarikan pelancong," kata Wong Hon Wai.
Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan ADUN Kebun Bunga, Lee Boon Heng mengenai usaha dan pencapaian kerajaan negeri dalam menarik acara MICE berimpak tinggi ke Pulau Pinang sejak Ogos 2023 dalam Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga DUN Pulau Pinang ke-15.