ISKANDAR PUTERI, 22 Disember -Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) akan melaksanakan inisiatif elektrifikasi keseluruhan kumpulan lori pelabuhan bermula tahun depan.
Ia sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh agenda kelestarian dan kecekapan operasi.
PTP dalam kenyataan memaklumkan, inisiatif itu dilaksanakan menerusi perjanjian bersama Terberg Tractors Malaysia (TTM), membolehkan pengoperasian penggerak utama elektrik (e-prime mover, e-PM) di dalam terminal pelabuhan.
Sebanyak 52 unit e-PM akan digunakan sebagai sebahagian daripada tempahan keseluruhan 94 unit, manakala selebihnya masih menggunakan bahan api konvensional.
Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, langkah berkenaan mencerminkan komitmen jangka panjang PTP terhadap usaha penyahkarbonan industri maritim.
“Agenda penyahkarbonan PTP telah dilaksanakan sejak sekian lama berdasarkan kesedaran bahawa ia amat penting bagi menjamin masa depan pelabuhan yang lestari.
Pelan hala tuju kami menyasarkan pengurangan pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030, berasaskan penanda aras tahun 2021,” katanya.
Menurut beliau, langkah tersebut juga bersempena sambutan ulang tahun ke-25 PTP sebagai pengendali pelabuhan utama negara.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman berkata, perolehan e-PM merupakan sebahagian daripada pelan pertumbuhan strategik bagi mengoptimumkan kapasiti sedia ada dan memastikan kesiapsiagaan jentera sejajar dengan trajektori pertumbuhan pelabuhan.
“Perolehan ini menyokong matlamat PTP untuk meningkatkan kapasiti pengendalian terminal kepada kira-kira 16 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) dalam tempoh dua setengah tahun akan datang,” katanya.
Menurut Hardiman, hasil Bukti Konsep (PoC) menunjukkan sebuah e-PM mampu mengurangkan pelepasan karbon sehingga 48 peratus.
Jelas beliau, pengeluarannya sekitar 4,000 kilogram setara karbon dioksida (kgCO₂eq) sebulan, berbanding 7,600 kgCO₂eq bagi unit konvensional.
Selain itu, penggunaan e-PM turut mencatatkan penjimatan kos operasi bulanan sehingga 57 peratus bagi setiap unit.
Dalam masa sama, PTP turut memperoleh lima forklift kecil elektrik untuk diuji dalam operasi sebenar.
Selain, terlibat dalam pelbagai kerjasama antarabangsa berkaitan pelabuhan mampan, termasuk inisiatif GreenVoyage2050 oleh Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO).
PTP turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pelabuhan Melbourne berkaitan operasi pelabuhan mampan.
Lori pelabuhan elektrik berkenaan dijadualkan dihantar pada 2026, dengan TTM turut menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan selama 24 bulan.
PTP kini diiktiraf sebagai antara pelabuhan dengan pertumbuhan terpantas dunia dan merekodkan pencapaian bersejarah apabila melepasi 13 juta TEU buat pertama kali pada 6 Disember lalu.
Ia menjadikannya terminal tunggal pertama di Malaysia mencapai rekod tersebut.