KUALA LUMPUR, 24 Ogos- PROTON bekerjasama dengan Pekat Group Bhd (Pekat) mempromosikan penggunaan sistem solar FotoVoltaic (PV) dalam ekosistem dan pekerja pengeluar kenderaan nasional itu.
Kerjasama itu susulan kejayaan pakar solar berkenaan melancarkan sistem PV solar untuk kilang pengeluaran PROTON di Tanjung Malim, Perak pada Mac lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, aset PV solar seluas 23 ekar dengan nilai RM33.1 juta itu berpotensi memberi penjimatan tenaga tahunan sebanyak RM5.85 juta.
"Ia bukan sahaja menjamin penjimatan tenaga, namun mampu mengurangkan kadar pelepasan karbon dioksida," katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara anak syarikat PROTON, Proton Global Services Sdn Bhd (PGS) dan subsidiari Pekat, Solaroo Systems Sdn Bhd (Solaroo) di sini.
(Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar)
Tambah beliau, PGS dan Solaroo menandakan permulaan fasa seterusnya ke arah penggunaan tenaga hijau yang lebih holistik.