KUALA LUMPUR, 14 Disember – Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) perlu meningkatkan daya saing mereka di pasaran antarabangsa melalui kerjasama strategik dengan negara-negara maju.
Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai berkata langkah itu penting untuk memperkukuh kedudukan PKS dalam rantaian bekalan global selain membuka akses kepada pasaran baharu yang lebih besar.
"Jepun, kita boleh. Korea Selatan, kita boleh, malah syarikat-syarikat dari Eropah di mana banyak PKS tertumpu. Konsep kita adalah berkolaborasi untuk mencapai situasi menang-menang dan membantu industri kita untuk maju, bukan untuk bersaing sehingga menekan PKS tempatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Portal Pemilihan Tapak MYSite di ibu negara.
Tan Sri Soh turut mencadangkan agar taman-taman industri di Malaysia dioptimumkan bagi menarik lebih banyak pelaburan daripada PKS luar negara, terutamanya dari negara maju.
Selain itu, beliau menekankan kepentingan PKS untuk mengadaptasi inovasi dan teknologi terkini bagi memastikan daya tahan dan relevansi mereka di pasaran antarabangsa.
Portal MYSite yang dilancarkan bertujuan mempermudah proses pemilihan lokasi perniagaan bagi perusahaan tempatan dan antarabangsa, menyokong perkembangan PKS di Malaysia.