KUALA LUMPUR, 29 Oktober- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah pada Selasa susulan petunjuk yang lemah daripada pasaran hadapan getah serantau dan sentimen berhati-hati dalam pasaran global, kata seorang peniaga.
Selain itu, kebimbangan mengenai pilihan raya Amerika Syarikat (AS) yang akan datang dan prospek kadar faedah AS merupakan faktor penting yang mempengaruhi dinamik pasaran, katanya kepada Bernama.
Dilaporkan ekuiti Asia diniagakan dalam julat sempit pada Selasa, ketika peniaga bersedia untuk pilihan raya AS dan petunjuk data ekonomi utama yang akan menetapkan tahap untuk Rizab Persekutuan (Fed) membuat keputusan yang seterusnya.
“Namun begitu, penurunan seterusnya dihadkan oleh pemulihan penanda aras harga minyak mentah dan ringgit yang lebih lemah berbanding dolar AS,” kata peniaga itu.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) susut 5.5 sen kepada 863.50 sen sekilogram, manakala lateks pukal turun tiga sen kepada 745.50 sen sekilogram.
Pada 5 petang, GMM 20 berada pada 860.0 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 744.0 sen sekilogram.- BERNAMA