KUALA LUMPUR, 14 Mei - Pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi suku pertama tahun ini dijangka kekal memberangsangkan, dengan anggaran sekitar 4.5 peratus, disokong pasaran buruh yang stabil serta peningkatan dalam beberapa sektor utama.
Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, kadar pengangguran kekal rendah pada paras 3.1 peratus sehingga Mac lalu, menandakan kestabilan pasaran pekerjaan yang terus menyokong aktiviti ekonomi.
Sektor eksport, elektrik dan elektronik (E&E) juga menunjukkan perkembangan positif, dengan pertumbuhan dua angka sebanyak 19 peratus, mencerminkan permintaan global yang masih kukuh terhadap barangan teknologi buatan Malaysia.
"Selain itu, sektor pelancongan turut memberi sumbangan positif apabila Malaysia menerima sekitar 4.3 juta pelancong asing dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, mewakili pertumbuhan hampir 15.8%, sekali gus membantu menyokong pertumbuhan ekonomi domestik melalui perbelanjaan pelancong," katanya ketika dihubungi RTM.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa ketegangan perdagangan global, khususnya berkaitan isu tarif antara Amerika Syarikat dan rakan dagang, boleh menjadi risiko kepada prospek pertumbuhan negara.
Malaysia sebagai ekonomi terbuka amat terdedah kepada sebarang perubahan dalam dasar perdagangan antarabangsa.
Terbaharu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi global daripada 3.3 peratus kepada 2.8 peratus, manakala bagi Malaysia pula, unjuran diturunkan daripada 4.7 peratus kepada 4.1 peratus.
Terdapat petanda positif apabila ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China dilaporkan semakin reda, dengan beberapa tarif utama telah diturunkan.
Situasi itu memberi harapan bahawa rundingan Malaysia dengan Amerika Syarikat juga berpotensi menghasilkan penyelesaian menang-menang yang mampu menyokong ekonomi negara dalam jangka panjang.
Pendekatan Malaysia yang memilih untuk berunding, bukannya mengenakan semula tarif balas, adalah langkah bijak untuk membuka lebih banyak peluang serta mengekalkan hubungan dagangan strategik dengan ekonomi utama dunia.