fb fb fb fb fb

Perodua sasar jualan eksport meningkat 79 peratus

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad

KUALA LUMPUR, 7 Mei- Perodua menyasarkan peningkatan jualan eksport sebanyak 79 peratus kepada 1,960 unit tahun ini, berbanding 1,094 unit pada 2023.

Sasaran tersebut, seiring usaha syarikat kereta kompak itu untuk meluaskan pasaran luar negaranya.

Pada 3 Mei lalu, Perodua telah memperkenalkan kereta model Alza AV dan H serta Axia AV dan G ke Brunei dengan sasaran jualan , masing-masing sebanyak 120 unit serta 40 unit.

Perodua turut mengeksport model Bezza 1.0L G ke Brunei dengan jangkaan jualan sebanyak 300 unit, menjadikan jumlah sasaran keseluruhan jualan tahun ini di negara berkenaan sebanyak 460 unit.

Tahun lalu, Perodua telah mencatat jualan sebanyak 300 unit Bezza 1.0L G ke Brunei, menjadikannya pasaran eksport terbesar syarikat berkenaan .

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, menjangkakan pertumbuhan yang berterusan dalam pasaran eksport Perodua.

Ia berikutan pengembangan agresif yang dijalankan oleh syarikat berkenaan, di samping keupayaan pengeluaran para pembekalnya.

Katanya, ia turut memberikan peluang yang lebih besar kepada para pembekal untuk bersama meningkatkan jumlah jualan, selaras dengan keperluan bagi komponen alat ganti.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE