fb fb fb fb fb

Perkukuh kerjasama, kreativiti dan integriti perangi jenayah kewangan

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 November - Industri kewangan perlu mengamalkan prinsip kerjasama, kreativiti dan integriti dalam menghadapi cabaran baharu, serta memastikan ekosistem kewangan terus terpelihara.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, landskap digital dan kewangan yang semakin berkembang menuntut kecekapan dan kerjasama yang lebih kukuh dalam menentang ancaman.

Dalam usaha memerangi jenayah kewangan, perkongsian maklumat dan kepakaran amat penting.

Menerusi Pusat Tindak Balas Penipuan Nasional (NSRC) umpamanya, pusat itu memainkan peranan penting sebagai platform kerjasama strategik yang menghimpunkan agensi kerajaan, institusi kewangan dan industri komunikasi bagi memperkukuh tindakan bersama dalam menangani jenayah penipuan kewangan.

"NSRC kini beroperasi 24 jam sehari bagi menerima laporan, mengesan, membekukan dan memulihkan semula dana yang telah ditipu," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa ke-15 mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) di sini

Sehingga suku ketiga 2025, NSRC telah menerima 263,683 panggilan, serta berjaya merampas RM12.91 juta dan memulangkan RM1.99 juta dana yang dicuri kepada mangsa.

Datuk Seri Abdul Rasheed turut menekankan kepentingan kerjasama pelbagai pihak dalam menangani jenayah baharu yang beroperasi melalui media sosial dan saluran digital.

Dari aspek kreativiti, beliau menegaskan bahawa langkah dan infrastruktur antipengubahan wang haram perlu sentiasa dipertingkat dan disesuaikan dengan perkembangan teknologi bagi mengekang jenayah kewangan yang semakin kompleks.

MASNIZA AWANG KECHIK