fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia, AmInvest lancar ETF pertama, pelaburan mampan & bertanggungjawab

Ketua Pegawai Eksekutif AmFunds Management Bhd, Kevin Wong

KUALA LUMPUR, 5 November - Bursa Malaysia Berhad dan AmInvest memperkenalkan Dana Dagangan Bursa (ETF) FTSE4Good Bursa Malaysia pertama seumpamanya berteraskan kriteria pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI).

Pelancaran dana yang menjejaki prestasi Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia itu memperkukuhkan lagi rangkaian ETF sedia ada di bawah AmInvest dengan mengetengahkan syarikat-syarikat yang mempamerkan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) terbaik.

Ketua Pegawai Eksekutif AmFunds Management Bhd, Kevin Wong berkata, dana ini bukan sahaja meluaskan rangkaian penyelesaian pelaburan yang lebih bertanggungjawab, malah menyokong aspirasi untuk menerajui dan membentuk ekosistem kewangan yang lebih mampan.

''Ia terbukti apabila SRI diterapkan, berdasarkan carta harga dan pulangan indeks FTSE4Good berbanding pasaran keseluruhan, pelaburan dalam aset mampan dan beretika menunjukkan peningkatan dalam pulangan.

''Kami berharap menerusi pelbagai inisiatif untuk mendidik pelabur dan meningkatkan kesedaran mengenainya, kami berupaya untuk menarik lebih banyak penyertaan dalam pasaran ETF pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Fad’l Mohamed berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen bersama kedua-dua pihak terhadap inovasi produk, pemerkasaan pelabur serta kemajuan kemampanan dalam pasaran modal Malaysia.

Menerusi ucapan yang dibacakan oleh Ketua Pegawai Pengawalseliaan Bursa Malaysia, Julian M Hashim jelasnya terdapat 15 ETF yang tersenarai di Bursa Malaysia setakat ini.

Ia merangkumi tujuh ETF patuh syariah dan lapan konvensional, sekali gus mencerminkan kepelbagaian pilihan untuk pelabur.

ROSLINA BINTI DIN