fb fb fb fb fb

PERKESO fokus perlindungan 24 jam, anjur Forum Keselamatan Sosial Sedunia

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyasarkan pelaksanaan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) sebagai salah satu inisiatif utama untuk tahun ini / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 2 Januari – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyasarkan pelaksanaan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) sebagai salah satu inisiatif utama untuk tahun ini.

PERKESO turut menumpukan kepada pindaan perundangan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

Pembaharuan itu bertujuan mewujudkan perlindungan 24 jam kepada pekerja, sekali gus menutup kelompangan dalam jaringan keselamatan sosial sedia ada.

“Untuk 2025, beberapa pelan besar menanti untuk direalisasikan PERKESO seperti pindaan Akta 4, Akta 800 dan SKBBK yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat demi memastikan keselamatan sosial di Malaysia lebih inklusif,” menurut kenyataan PERKESO.

PERKESO turut menekankan pentingnya aspek inovasi dalam keselamatan sosial, selaras dengan perbincangan dalam Forum Keselamatan Sosial Serantau (RSSF) Asia dan Pasifik yang berlangsung baru-baru ini.

Penganjuran Forum Keselamatan Sosial Sedunia (WSSF) 2025 PERKESO bersama rakan strategik, termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, kini bersiap sedia menganjurkan Forum Keselamatan Sosial Sedunia (WSSF) 2025.

Forum berskala global itu akan berlangsung dari 29 September hingga 3 Oktober 2025, dijangka menghimpunkan 338 agensi dan institusi dari 163 negara yang merupakan ahli Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA).

ISSA, yang ditubuhkan pada 1927 dan berpusat di Geneva, Switzerland, bernaung di bawah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bertindak sebagai platform global untuk membincangkan dasar, strategi, dan inovasi dalam bidang keselamatan sosial.

Penganjuran WSSF setiap tiga tahun merupakan acara kemuncak ISSA yang menghimpunkan menteri, pegawai kanan, pengamal, dan pakar keselamatan sosial dari seluruh dunia.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN