fb fb fb fb fb

Perhalusi lanskap ekonomi sebelum laksana subsidi bersasar RON95

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib

KUALA LUMPUR, 13 Mei - Kerajaan akan mengambil kira landskap ekonomi semasa sebelum melaksanakan sebarang dasar baharu termasuk langkah penyasaran subsidi petrol RON95, kata Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib.

Ujarnya, sebarang keputusan berkaitan dasar itu memerlukan pertimbangan khusus serta teliti dan akan melibatkan perbincangan di peringkat Jemaah Menteri terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Sebagai kerajaan, kita bertanggungjawab melihat keadaan ekonomi terlebih dahulu dan jika pelaksanaan adalah sukar pada waktu ini, kita tidak akan melaksanakannya".

''Apa yang dicadang akan dibentangkan di peringkat Kabinet terlebih dahulu, selain mendapatkan maklum balas daripada setiap kementerian sama ada sesuai atau tidak untuk melaksanakannya,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pra-pelancaran WE2025 : Future in Motion di ibu negara, hari ini.

Beliau mengulas mengenai perkembangan berkaitan langkah penyasaran semula subsidi RON95 yang dijangka dilaksanakan pertengahan tahun ini.

Pada Mac lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan bahawa mekanisme pelaksanaannya masih diperhalusi dan kerajaan tidak mahu membuat pengumuman secara tergesa-gesa.

Pelaksanaan subsidi bersasar ini dijangka melibatkan dua peringkat harga dan berkemungkinan menggunakan sistem pengesahan melalui MyKad.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE