KUALA LUMPUR, 5 Ogos - Sektor korporat Malaysia perlu memainkan peranan aktif dalam usaha menambah baik tatakelola dan memperkukuh tadbir urus negara.
Perikatan Pengarah Korporat Malaysia (MACD) berkata, perkara itu termasuk misi untuk meletakkan negara ini dalam kelompok 25 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dan 12 teratas dalam IMD World Competitiveness Yearbook, seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Pelaksanaan reformasi penting seperti Akta ILTIZAM, Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal, serta inisiatif digital seperti GovTech dan MyDigital ID, merupakan langkah besar ke arah peningkatan ketelusan dan akauntabiliti dalam sektor awam dan swasta.
''MACD turut menggesa semua lembaga pengarah agar memainkan peranan lebih proaktif dalam mengintegrasikan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ke dalam strategi serta pelaporan syarikat,'' jelas MACD dalam satu kenyataan, hari ini.
Antara saranan yang dikemukakan termasuk penubuhan jawatankuasa lembaga pemantauan etika dan risiko AI, serta memastikan kepelbagaian dalam komposisi lembaga pengarah selari dengan sasaran kerajaan untuk mencapai 60 peratus penyertaan wanita dalam tenaga kerja.
Kerjasama antara kerajaan dan komuniti pengarah korporat juga harus diperkukuh bagi memastikan bagi
akauntabiliti lembaga sejajar dengan agenda tadbir urus nasional, serta memastikan syarikat tersenarai dan PKS tidak ketinggalan dalam transformasi ini.
“MACD komited untuk menyumbang kepada agenda ini melalui latihan, penyediaan rangka kerja tadbir urus dan pembelajaran rakan setara, demi menyokong masa depan Malaysia yang lebih mampan dan beretika,” katanya.