SEPANG, 16 Ogos - Perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan menjalani kerja penyelenggaraan malam selama dua minggu bermula 18 Ogos ini.
Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Mohd Izani Ghani berkata, langkah itu merupakan usaha proaktif bagi memperhalusi sistem Aerotrain berdasarkan data masa nyata dan maklumat berterusan yang dikumpul sejak pelancarannya.
“Kerja penyelenggaraan ini akan dijalankan pada waktu luar puncak, iaitu dari 12 tengah malam hingga 5 pagi setiap hari, bagi mengurangkan kesan kepada penumpang.
“Sepanjang tempoh itu, perkhidmatan Aerotrain akan dihentikan sementara dan perkhidmatan bas ulang-alik disediakan bagi memastikan sambungan lancar antara Bangunan Terminal Utama dan Bangunan Satelit,” katanya dalam satu kenyataan.
MAHB dalam kenyataan sama menasihatkan penumpang yang melalui waktu tersebut agar mengikuti papan tanda di lapangan terbang serta arahan daripada kakitangan bertugas.
Menurut syarikat itu, kerja penyelenggaraan berjadual ini penting bagi memastikan sistem kekal beroperasi secara optimum, responsif dan selamat untuk jangka panjang, selain menjadi sebahagian daripada usaha berterusan meningkatkan prestasi.
Sementara itu, KLIA juga sedang melaksanakan penambahbaikan teknikal lain, termasuk pemasangan loji pencucian kenderaan automatik (AVWP) baharu di atas landasan bagi menggantikan kaedah pencucian manual sebelum ini.
Pengoperasian AVWP baharu itu merupakan yang pertama seumpamanya untuk sistem Aerotrain KLIA.
Sejak mula beroperasi pada 1 Julai lalu, Aerotrain telah mengangkut lebih dua juta penumpang, mencatatkan lebih 1,100 jam perkhidmatan dan melengkapkan 18,800 perjalanan.