fb fb fb fb fb

Pengurangan tarif AS bukti kejayaan diplomasi perdagangan Malaysia

Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid

KUALA LUMPUR 1 Ogos -Keputusan Amerika Syarikat (AS) mengurangkan kadar tarif import ke atas Malaysia kepada 19 peratus berbanding 25 peratus yang diumumkan awal bulan lalu, bukti keberkesanan pendekatan diplomasi negara dalam menghadapi kuasa besar dunia.

Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, langkah itu membuktikan bahawa strategi rundingan yang digerakkan Malaysia telah berjaya menghasilkan keputusan yang positif.

"Ini membuktikan bahawa strategi Malaysia untuk berunding dengan AS telah membuahkan hasil, meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran," katanya kepada pemberita RTM.

White House hari ini memaklumkan kadar baharu tarif itu akan berkuat kuasa serta-merta, susulan siri rundingan tertutup antara wakil perdagangan kedua-dua negara dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Menurut Dr Afzanizam, pengurangan kadar tarif itu bukan sahaja memberi manfaat daripada sudut ekonomi, malah mencerminkan kedudukan Malaysia yang dihormati di peringkat antarabangsa, meskipun Malaysia terus menyatakan pendirian tegas dalam beberapa isu global.

"Malaysia meskipun mempunyai pendirian yang tegas dalam hal-hal tertentu, terutamanya dalam kes situasi di Gaza, namun masih mempunyai keupayaan untuk berunding," jelas beliau.

Tambah beliau, keputusan itu turut membuka ruang kepada rundingan lanjut bagi penambahbaikan lain dalam kerangka perdagangan antarabangsa antara kedua-dua negara.

"Sekiranya perkara ini dapat dirundingkan dengan lebih aktif, maka mungkin tarif ini dapat dikurangkan lagi pada masa akan datang," katanya.

Dr Afzanizam menyifatkan kejayaan ini sebagai satu pencapaian yang wajar dibanggakan dan mampu menyuntik keyakinan baharu kepada Malaysia dalam meneruskan langkah di peringkat global.

TETITIA YUSOFF