fb fb fb fb fb

Pengukuhan ringgit beri impak positif kepada sektor yang bergantung kepada import

Pensyarah Kewangan, Universiti Malaysia Terengganu, Prof Madya Dr. Safwan Mohd Nor

KUALA LUMPUR, 5 Ogos- Pengukuhan nilai ringgit ketika ini memberi kesan positif dan manfaat terutama kepada sektor-sektor yang bergantung kepada import.

Menurut Pensyarah Kewangan, Universiti Malaysia Terengganu, Prof Madya Dr. Safwan Mohd Nor, sektor berkaitan seharusnya menikmati kos import lebih rendah, seterusnya mendorong pengurangan dalam kos pengeluaran.

"Sektor-sektor seperti pembuatan yang bergantung kepada bahan mentah dari luar negara mungkin melihat penurunan kos. Pengukuhan ringgit juga boleh mendorong kepada peningkatan pelaburan dalam sektor teknologi dan perkhidmatan yang lebih berasaskan pengetahuan memandangkan kos import teknologi akan berkurangan,"katanya.

Beliau yang juga Penyelidik Bersekutu, Institut Kajian Ekonomi Strategik Victoria University Australia berkata, momentum pengukuhan ringgit dijangka berterusan dan berpotensi didagangkan lebih tinggi berbanding dolar daripada paras semasa.

Ini akan memberi sokongan kepada nilai ringgit yang ketika ini masih bawah nilai sebenar.

Langkah-langkah pembaharuan ekonomi dan kawalan fiskal berhemah akan menyumbang kepada keyakinan pelabur seterusnya membawa kestabilan ringgit dalam jangka panjang.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE