fb fb fb fb fb

Pemeteraian ART tidak libat pindaan undang-undang, kepentingan negara kekal terjamin

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 17 November - Tiada sebarang pindaan undang-undang diperlukan untuk membolehkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) dimeterai.

Ini sekali gus membuktikan kepentingan negara yang dilindungi undang-undang sedia ada sama sekali tidak terjejas, demikian tegas Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

"ART bukanlah perjanjian perdagangan bebas konvensional yang dimulakan oleh Malaysia, sebaliknya ia merupakan langkah pertahanan untuk melindungi kepentingan negara, pekerjaan serta pasaran eksport Malaysia daripada tarif unilateral AS ke atas Malaysia dan banyak rakan dagang lain," kata MITI dalam satu kenyataan.

MITI turut memaklumkan proses perjanjian ini melibatkan sekurang-kurangnya 10 sesi bersama pembuat dasar sejak Mei 2025, serta telah dibentangkan dan diluluskan oleh kabinet.

Tegas MITI, kerajaan telah melalui proses semakan menyeluruh melibatkan semua kementerian dan agensi berkaitan bagi menilai implikasi undang-undang, ekonomi, keselamatan dan sektor.

"Analisis senario turut dijalankan bersama kementerian terlibat, yang menunjukkan kegagalan berunding atau menolak ART berisiko membawa kepada tarif lebih tinggi, liputan produk lebih luas serta ketidaktentuan yang lebih besar kepada pengeksport, pelabur dan pekerja.

"Libat urus tersebut melibatkan Kementerian Kewangan, Wisma Putra, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Perladangan dan Komoditi, Kementerian Kesihatan serta agensi seperti Bank Negara Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Bahagian Regulatori Farmasi Negara, Pihak Berkuasa Peranti Perubatan dan Jabatan Kastam," jelas kenyataan sama.

MITI juga menjelaskan, semua garis merah negara, termasuk dasar bumiputera, perolehan kerajaan dan pemilikan dalam sektor strategik, kekal utuh dan tidak disentuh bawah ART.

"Tiada mana-mana klausa dalam ART yang mengetepikan garis merah ini. Peruntukan seperti Artikel 5.1 (tindakan pelengkap) dan 5.2 (kawalan eksport) berpaksikan undang-undang domestik dan hanya terpakai jika wujud kepentingan ekonomi atau keselamatan bersama.

"Malaysia kekal bebas membuat keputusan seiring dasar luar berkecuali dan tidak berpihak. Artikel 3.3 dan 5.3 hanya memerlukan rundingan dengan AS dan tidak memberikan kuasa veto terhadap perjanjian perdagangan masa depan Malaysia," tegas MITI.

Jelas kementerian itu, ART berperanan sebagai instrumen stabilisasi bagi mengurangkan risiko kejutan tarif, memberikan kepastian kepada pelabur serta menjamin akses kepada pasaran eksport terbesar Malaysia.

Keyakinan ini turut disokong oleh peningkatan eksport dan pelaburan yang menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar 5.2 peratus pada suku ketiga 2025.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN