PULAU PINANG, 2 Mei – Pematuhan terhadap sekatan antarabangsa merupakan salah satu daripada tiga cabaran operasi utama dihadapi oleh syarikat semikonduktor.
Kebimbangan lain termasuk kawalan eksport, teknologi dwiguna, ketelusan rantaian bekalan, serta pemantauan penggunaan akhir dan pengguna akhir.
Dapatan berkenaan diperoleh hasil maklum balas peserta sesi libat urus industri, anjuran bersama Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) dan Deloitte di Pulau Pinang baru-baru ini.
Presiden MSIA, Datuk Seri Wong Siew Hai berkata, industri semikonduktor Malaysia harus mengimbangi antara kepentingan daya saing dan pematuhan untuk berkembang maju di peringkat global.
"Apabila peraturan perdagangan berubah, kesiapsiagaan juga perlu seiring. Kerjasama dengan Deloitte ini mengukuhkan keupayaan industri untuk memenuhi piawaian global dan kedudukan Malaysia sebagai hab teknologi yang dipercayai dan berpandangan jauh,'' katanya.
Program bertajuk "Memperkukuh Pematuhan Sekatan dalam Sektor Semikonduktor Global" itu menghimpunkan pemimpin industri dan pakar pematuhan perdagangan.
Simposium menjadi platform untuk berkongsi pandangan dan membincangkan rejim sekatan antarabangsa yang semakin meningkat serta implikasinya terhadap sektor semikonduktor Malaysia.