KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Pelancaran model bahasa besar (LLM) ILMU yang dibangunkan sepenuhnya oleh YTL AI Labs dengan kerjasama Universiti Malaya menandakan kemajuan penting dalam aspirasi Malaysia menjadi negara kecerdasan buatan (AI).
Pengarah Eksekutif YTL AI Labs, Lou Yeoh berkata LLM multimodal pertama negara itu menggabungkan kepintaran bahasa dan budaya Malaysia dengan keupayaan teknologi bertaraf dunia.
''Ilmu merupakan enjin AI yang setanding dengan model global seperti ChatGPT, Llama dan Deepseek, namun yang membezakannya dengan model-model ini ialah Ilmu ialah pemahamannya dalam Bahasa Melayu.
"Ini bermakna kami melatihnya khusus untuk konteks Malaysia, jadi anda boleh bercakap menggunakan slanga bahasa Melayu-Inggeris dan ia tahu apa yang dimaksudkan. Keupayaan ini boleh membantu menggerakkan ekonomi Malaysia kerana ia boleh berfikir dan bertutur seperti rakyat Malaysia,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama RTM.
Pengarah Eksekutif YTL AI Labs, Lou Yeoh
Bagi mempercepatkan penerapan dan inovasinya, YTL AI Labs turut memperkenalkan Program Pemecut AI ILMU dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Program ini terbuka kepada syarikat pemula niaga dan firma global yang ingin membangunkan produk serta perkhidmatan AI yang memenuhi keperluan tempatan dan berpotensi dikembangkan ke peringkat antarabangsa.
“Sebagai sebahagian daripada program ini, kami menawarkan token percuma bernilai RM5 juta kepada syarikat layak. Mereka juga akan dibantu mendapatkan status Digital Malaysia serta Pas Bakat. Inisiatif ini akan membantu merancakkan ekonomi tempatan dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi AI,” tambahnya.
Selain itu, aplikasi ILMUchat akan dilancarkan untuk pengguna bermula 16 September ini, bersempena sambutan Hari Malaysia.