KUALA LUMPUR, 9 Oktober - Lembaga Getah Malaysia (LGM) sedang membangunkan Pelan Strategik MRB 2026-2030 bagi memperkukuh daya saing serta memastikan kelestarian jangka panjang industri getah, yang kekal menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata pelan strategik lima tahun itu bakal menjadi panduan utama dalam memacu pembangunan industri getah secara menyeluruh dan mampan, seiring dengan permintaan global terhadap produk berasaskan kelestarian.
"Pelan ini disusun berasaskan empat teras strategik utama, iaitu meningkatkan produktiviti getah bagi memastikan kelestarian jangka panjang industri getah negara, memajukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk memacu pertumbuhan serta inovasi berterusan.
"Ia juga bertujuan memperkasakan perkhidmatan sokongan bagi mengukuhkan keseluruhan ekosistem industri getah, serta mempertingkat kecekapan operasi dan tadbir urus Lembaga Getah Malaysia (LGM)." katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Ekonomi Getah Antarabangsa (IREC) 2025 di sini, hari ini.
Menurut beliau, pelan strategik berkenaan bukan sekadar menumpukan kepada pengeluaran getah, tetapi turut memberi tumpuan kepada penambahbaikan rantaian bekalan, penggunaan teknologi moden serta usaha meningkatkan kesejahteraan pekebun kecil.
"Pelan ini juga selaras dengan Dasar Agri Komoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030) yang digerakkan oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi berasaskan lima tonggak utama iaitu kelestarian, produktiviti, penciptaan nilai, pembangunan pasaran dan keterangkuman," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, LGM turut melaksanakan inisiatif Malaysian Sustainable Natural Rubber (MSNR) yang kini diperluas ke Sabah dan Sarawak selepas menerima pengiktirafan daripada Lembaga Industri Getah Sabah dan Lembaga Industri Getah Sarawak.
MSNR merupakan inisiatif penting dalam memperkukuh aspek kebolehjejakan serta memastikan pematuhan terhadap piawaian antarabangsa, termasuk Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah yang akan berkuat kuasa hujung tahun ini.