KUALA LUMPUR, 2 Mei - Malaysia menyambut baik keputusan gergasi teknologi Microsoft hari ini yang bersetuju dengan pelaburan berjumlah RM10.5 bilion (AS$2.2 bilion) dalam infrastruktur awan dan kecerdasan buatan (AI) untuk tempoh empat tahun akan datang.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jumlah itu adalah pelaburan terbesar oleh Microsoft setelah bertapak selama 32 tahun di Malaysia.
Menurut Anwar, keputusan pelaburan itu membuktikan keyakinan Microsoft kepada asas ekonomi negara yang kukuh, dasar-dasar yang jelas dan terarah selain mesra pelabur dan kestabilan politik.
"Pelaburan ini meliputi pewujudan peluang kemahiran AI untuk tambahan (melatih) 300,000 orang rakyat Malaysia, penubuhan satu Pusat Kecemerlangan AI Nasional, mempertingkat kemampuan keselamatan siber negara dan menyokong pertumbuhan komuniti pembangun sistem di Malaysia.
"Pelaburan ini selari dan akan menjadi pendukung utama kepada fokus Kerajaan dalam membangunkan kapasiti AI dalam negara," katanya menerusi hantaran di Facebook selepas menerima kunjungan hormat Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella serta delegasi di Putrajaya hari ini.
Usai kunjungan hormat, Anwar dan Satya kemudiannya menghadiri National AI Leadership Forum.
"Kami sempat berdialog terkait perkara yang menyentuh hal teknologi yakni AI dan perancangan Kerajaan bagi mempersiapkan negara dengan arus perubahan ini.
"Semoga kerjasama Malaysia dan Microsoft ini dapat membawa manfaat yang cukup besar kepada negara dan rakyat keseluruhannya," katanya.