KUALA LUMPUR, 3 Mei- Malaysia membuktikan keupayaan dalam menyediakan infrastruktur, polisi mesra pelabur dan juga sumber manusia berkemahiran apabila syarikat teknologi multinasional gergasi, Microsoft Corporation bersedia melabur lebih AS$2 bilion dolar Amerika di negara ini.
Menurut Pengarah Program MBA Putra Business School UPM, Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latif, ia turut mencerminkan keyakinan dalam kalangan pelabur khususnya pelabur antarabangsa, apabila banyak syarikat multinasional dan antarabangsa memutuskan untuk mengekal serta meningkatkan pelaburan masing-masing dalam pelbagai sektor.
Pertumbuhan ekonomi negara yang berterusan secara positif sejak tahun lalu juga antara faktor penyumbang utama selain peningkatan nilai eksport, pasaran saham dan Pelaburan langsung asing (FDI).
"Semua ini membawa kepada keyakinan yang lebih tinggi kepada pelabur-pelabur asing. Kebiasaannya, apabila pelabur asing ini melabur di Malaysia, mereka tidak melabur untuk mendapatkan pulangan jangka masa pendek tetapi merupakan pelaburan jangka masa panjang."
"Dalam tempoh masa itu, mereka juga melihat selain daripada pertumbuhan ekonomi yang sentiasa positif, kestabilan kerajaan itu sendiri serta kestabilan politik itu juga penting selain kemampuan mereka mendapatkan pulangan yang setimpal dengan pelaburan mereka," kata Profesor Razman kepada pemberita RTM secara eksklusif menerusi temu bual secara maya.
Jelasnya, Malaysia telah membuktikan kepada banyak syarikat antarabangsa yang sudah lama bertapak di negara, apabila berjaya mendapatkan pulangan atas pelaburan mereka.
Terdahulu, Microsoft mengumumkan penambahan pelaburan berjumlah AS$2.2 bilion dolar Amerika dalam infrastruktur awan dan AI bagi tempoh empat tahun akan datang.
Itu merupakan pelaburan terbesar Microsoft setelah bertapak selama 32 tahun di Malaysia.