fb fb fb fb fb

Pelaburan langsung domestik, enam GLIC labur RM120 bilion

Foto Fail

PUTRAJAYA, 8 Ogos- Enam Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) secara kolektif akan melabur RM120 bilion bagi tujuan pelaburan langsung domestik (DDI) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), komitmen pelaburan di bawah fasa pertama program GEAR-uP itu, menyasarkan industri berpertumbuhan dan bernilai tinggi seperti peralihan tenaga serta semikonduktor.

"Enam GLIC terlibat ialah Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (Diperbadankan) KWAP, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT)," menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendekatan keseluruhan negara diperlukan bagi mencapai sasaran-sasaran kerangka Ekonomi MADANI.

Beliau menyatakannya selepas taklimat di GEAR-uP Gallery Walk di Dewan Utama Kompleks Kementerian Kewangan di Putrajaya, semalam.

Tambahnya, menerusi program itu GLIC akan meningkatkan tumpuan kepada pelaburan tempatan.

Modal dilabur juga akan memanfaatkan semua rakyat serta melahirkan ekosistem ekonomi baharu.

GLIC turut mempunyai daya kewangan bagi melonjakkan negara dalam rantaian nilai ekonomi.

Ia disokong jumlah Aset di Bawah Pengurusan bernilai lebih RM1.8 trilion, menghampiri saiz keluaran dalam negara kasar nominal.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM