fb fb fb fb fb

Pelabur asing kembali dominasi aktiviti belian di Bursa Malaysia minggu lepas

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 6 November- Bursa Malaysia menyaksikan kehadiran semula pelabur asing sebagai pembeli bersih ekutiti pada minggu lalu dengan nilai belian bersih RM163.7 juta.

Tiga sektor utama menjadi tumpuan dana asing termasuk utiliti, pembinaan, selain sektor hartanah.

MIDF Amanah Investment Bank menerusi nota penyelidikan berkata tiga sektor utama yang mencatat aliran keluar dana asing pula adalah perkhidmatan kewangan, produk dan perkhidmatan pengguna serta tenaga.

Minggu lalu juga menyaksikan institusi tempatan menamatkan aktiviti belian bersih selama empat minggu dengan sejumlah RM93.4 juta nilai jualan.

Pelabur runcit tempatan pula meneruskan jualan bersih bernilai RM70.3 juta pada minggu lepas iaitu bagi tempoh empat minggu berturut-turut.

Dari segi penyertaan, MIDF berkata terdapat penurunan 10.4 peratus dalam nilai purata dagangan harian dalam kalangan pelabur asing manakala pelabur runcit tempatan 2.6 peratus pada minggu lepas.

Institusi tempatan sebaliknya mencatat peningkatan sebanyak 2.9 peratus.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE