(Foto fail)
KUALA LUMPUR, 2 Jun- Pasaran getah Malaysia ditutup bercampur-campur untuk hari kelima berturut-turut minggu ini walaupun prestasi positif di pasaran hadapan getah serantau.
Seorang peniaga berkata sentimen pasaran hari ini disokong oleh perkembangan positif mengenai kelulusan untuk menggantung had hutang AS dan keyakinan bahawa Rizab Persekutuan AS akan mengekalkan kadar faedah sebelum ini pada mesyuarat Jun ini.
Dilaporkan Kongres AS meluluskan rang undang-undang yang menggantung had hutang kerajaan AS US$31.4 trilion.
Namun begitu, beliau berkata kenaikan selanjutnya dihadkan oleh ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar AS.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) naik 1.5 sen kepada 601.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal kekal tidak berubah pada 495 sen sekilogram.
Pada 5.00 petang, harga rujukan LGM untuk getah fizikal SMR 20 berada pada 602.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal pada 494.5 sen sekilogram.
Pasaran getah Kuala Lumpur akan ditutup pada 5 Jun, 2023 sempena hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong dan beroperasi semula pada 6 Jun, 2023. -BERNAMA
(Pasaran getah masih ditutup bercampur-campur)