KUALA LUMPUR, 9 Julai- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi hari ini, disokong oleh kebimbangan terhadap bekalan yang terhad disebabkan musim hujan di Thailand dan ringgit yang lemah berbanding dolar AS, kata seorang peniaga.
Beliau berkata agensi metereologi Thailand memberi amaran hujan lebat yang berkemungkinan menyebabkan banjir kilat dari 11 hingga 14 Julai.
Sentimen pasaran juga meningkat disebabkan langkah terbaharu China untuk memulihkan ekonomi, katanya.
"Bagaimanapun, kenaikan selanjutnya dihadkan oleh penurunan harga minyak mentah penanda aras dan petunjuk bercampur-campur dalam pasaran niaga hadapan getah serantau, berikutan peniaga menunggu petunjuk selanjutnya berkenaan dasar monetari AS (Amerika Syarikat)," katanya kepada Bernama.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) naik 6.0 sen kepada 778.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal susut 1.5 sen kepada 673.5 sen sekilogram.
Pada 5.00 petang, harga rujukan LGM bagi fizikal SMR 20 berada pada 782.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 670.5 sen sekilogram.- BERNAMA