KUALA LUMPUR, 20 Mac- Pasaran getah Malaysia ditutup tinggi hari ini sejajar dengan prestasi pasaran niaga hadapan getah serantau dan ringgit yang rendah berbanding dolar AS, kata peniaga.
Beliau berkata sentimen didorong oleh keadaan bekalan yang terhad dan kebimbangan yang meningkat mengenai kekurangan getah asli (NR) global yang meluas.
Bagaimanapun, katanya kenaikan dikekang oleh penurunan harga penanda aras minyak mentah, selain ketidakpastian mengenai kadar faedah AS.
Beliau berkata menurut Jabatan Meteorologi Thailand, selatan Thailand, kawasan penanaman getah tradisional negara pengeluar NR terbesar dunia itu, kini terjejas oleh cuaca panas, justeru bekalan menjadi terhad.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) dan susu getah pukal, masing-masing meningkat dua sen kepada 805.0 sen sekilogram dan 760.5 sen sekilogram.
Pada 5 petang, harga rujukan LGM untuk getah fizikal SMR 20 sebanyak 806.0 sen sekilogram manakala susu getah pukal sebanyak 762.0 sen sekilogram.- BERNAMA