fb fb fb fb fb

Pasaran getah ditutup tinggi

KUALA LUMPUR, 17 Mac- Pasaran getah Malaysia ditutup lebih tinggi pada urus niaga Jumaat disokong oleh prestasi ekonomi China yang positif selain kenaikan dalam harga minyak mentah, kata seorang peniaga.

Beliau berkata harga minyak pulih semula kira-kira satu peratus selepas pertemuan antara Arab Saudi dan Rusia berjaya menenangkan pasaran di tengah-tengah jangkaan permintaan China yang kukuh selepas krisis perbankan mencetuskan penjualan dalam pasaran kewangan dan minyak global minggu ini.

“Namun, kenaikan selanjutnya dihadkan oleh pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar AS dan prestasi bercampur-campur dalam pasaran niaga hadapan getah serantau ekoran kebimbangan terhadap krisis perbankan di Amerika Syarikat (AS),” katanya kepada Bernama.


(Foto hiasan)

Selain itu, peniaga itu berkata pemain pasaran terus memantau rapat mesyuarat dasar monetari Rizab Persekutuan AS minggu depan dengan jangkaan bank pusat boleh memperlahankan kenaikan kadar faedah yang agresif untuk mengurangkan tekanan pada sistem kewangan.

Sementara itu, niaga hadapan getah Jepun meningkat hari ini buat pertama kali dalam tempoh 11 hari apabila kerajaan berusaha untuk meningkatkan keyakinan pelabur di tengah-tengah dasar monetari global yang lebih ketat dan kegawatan perbankan.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) mengukuh 7.0 sen kepada 578 sen sekilogram (kg) manakala lateks pukal turun 1.5 sen menjadi 522 sen sekg.

Pada 5 petang, harga penutup LGM untuk SMR 20 ialah pada 576.5 sen sekg manakala lateks pukal pada 519 sen sekg.- BERNAMA

Media Baharu