KUALA LUMPUR, 1 Julai- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah hari ini sejajar dengan prestasi lemah di pasaran niaga hadapan getah serantau, ditambah pula dengan pengukuhan ringgit berbanding dolar AS, kata seorang peniaga.
Peniaga itu berkata sentimen pasaran terjejas oleh petunjuk lemah daripada data ekonomi terkini China di tengah-tengah ketidakpastian mengenai kadar faedah AS.
"Bagaimanapun, kejatuhan seterusnya dihadkan oleh aktiviti perkilangan global yang positif di Asia di tengah-tengah harapan untuk lebih banyak langkah rangsangan dari China," katanya kepada Bernama.
Menurut peniaga itu niaga hadapan getah Jepun jatuh untuk sesi kedua pada Isnin, menjejaki harga fizikal yang lebih lemah di peringkat pengeluar utama Thailand, walaupun harga minyak yang lebih tinggi dan yen yang lemah mengehadkan kejatuhan.
Beliau berkata Biro Statistik Negara (NBS) China melaporkan aktiviti pembuatan negara itu turun untuk bulan kedua pada Jun, dengan indeks pengurus pembelian (PMI) pembuatan secara rasminya pada 49.5, mengekalkan gesaan untuk rangsangan seterusnya ketika ekonomi negara berkenaan bergelut untuk bangkit semula.
"Bagaimanapun, aktiviti perkilangan di Asia berkembang pada Jun berikutan momentum kukuh ekonomi global dan prospek cerah untuk pengeluaran semikonduktor, memberikan harapan kepada pembuat dasar bahawa rantau ini dapat menghadapi kesan daripada permintaan China yang lemah," tambahnya.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) turun 2.0 sen kepada 780.5 sen sekilogram (kg), manakala lateks pukal jatuh 3.5 sen kepada 700 sen sekilogram.
Pada 5 petang, harga rujukan LGM bagi getah fizikal untuk GMM 20 berada pada 781.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 696 sen sekilogram.- BERNAMA