fb fb fb fb fb

Pasaran getah ditutup bercampur-campur seiring prestasi pasaran serantau

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 19 Januari- Pasaran getah Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini sejajar dengan pasaran niaga hadapan getah serantau apabila kebimbangan terhadap pertumbuhan perlahan ekonomi China dan keraguan berhubung penurunan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) telah menjejaskan sentimen global, kata seorang peniaga.

Beliau berkata, penurunan harga minyak mentah dan pengukuhan ringgit berbanding dolar AS di tengah-tengah risiko geopolitik di Timur Tengah juga menambahkan lagi tekanan kepada harga.

“Harga minyak mencatatkan penurunan pada Jumaat selepas meningkat sehari sebelumnya apabila ketegangan geopolitik dan gangguan pengeluaran minyak AS ekoran cuaca sejuk melampau diimbangi oleh pertumbuhan permintaan perlahan di China,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, beliau berkata, penurunan seterusnya dihadkan oleh data ekonomi yang menggalakkan dari AS apabila para peniaga menunggu petunjuk seterusnya mengenai langkah-langkah rangsangan China.

Dilaporkan bahawa jumlah tuntutan baharu bagi manfaat pekerjaan di AS susut minggu lepas ke paras terendahnya sejak lewat 2022, membayangkan pertumbuhan pekerjaan dijangka kekal kukuh pada Januari.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) turun 1.0 sen kepada 721.50 sen sekilogram manakala lateks pukal meningkat 4.0 sen kepada 594.00 sen sekilogram.

Pada pukul 5.00 petang, harga rujukan LGM bagi getah SMR 20 berada 721.5 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 597.0 sen sekilogram. -BERNAMA

SITI AISHAH BINTI MD ISA