fb fb fb fb fb

Pasaran getah ditutup bercampur-campur

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 21 Mac - Pasaran getah Malaysia ditutup bercampur-campur pada Khamis sejajar dengan prestasi niaga hadapan getah serantau selepas Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) mengekalkan kadar penanda arasnya, kata peniaga.

Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed (FOMC) memutuskan Kadar Dana Persekutuan (FFR) dikekalkan tidak berubah dalam julat 5.25 hingga 5.5 peratus selain unjuran untuk tiga kali penurunan kadar faedah tahun ini juga diteruskan.

Keputusan itu sekali gus menunjukkan keyakinan Fed bagi inflasi yang lebih rendah.

Peniaga berkata sentimen pasaran kekal berwaspada kerana kenaikan seterusnya telah dihadkan oleh ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar AS, manakala niaga hadapan getah Jepun susut bagi sesi kedua hari ini.

“Walau bagaimanapun, penurunan telah dikekang oleh peningkatan semula harga minyak mentah yang menjadi penanda aras serta gangguan bekalan getah akibat musim cuaca panas,” katanya kepada Bernama.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) turun 5.5 sen kepada 800.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal meningkat 2.0 sen kepada 764 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan bagi getah fizikal oleh LGM untuk GMM 20 berada pada 793.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal ialah 763.5 sen sekilogram.
- BERNAMA

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI